KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil semula bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyambung rakaman percakapan berkaitan penyelesaian harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan bahawa proses rakaman percakapan dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.
“Seperti yang saya pernah sebutkan sebelum ini, pemanggilan semula ini berkaitan dengan penyelesaian harta yang telah dibuat oleh beliau kepada pihak kami,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Seksyen 36 Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk mendapatkan maklumat berkenaan pemilikan harta daripada mana-mana individu yang disiasat atau dikaitkan dengan siasatan rasuah serta salah guna kuasa.
Dalam perkembangan lain, Azam turut memaklumkan siasatan terhadap beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah masih berlangsung dan kini menunggu laporan forensik terhadap 10 rakaman video yang telah diterima.
“Siasatan masih belum selesai. Kita sedang membuat penelitian dan forensik ke atas 10 audio berkenaan. Saya jangka tidak lama lagi siasatan ini akan dapat disempurnakan,” katanya.
Menurut beliau, siasatan turut merangkumi satu kes baharu yang melibatkan dakwaan terhadap seorang Speaker Dewan Undangan Negeri, selain lapan rakaman audio asal yang mengaitkan beberapa ADUN lain.
Berdasarkan bahan yang diperoleh daripada rakaman tersebut, kita telah memanggil beberapa individu untuk diambil keterangan,” ujarnya.
Azam menegaskan bahawa SPRM akan menyiasat setiap aduan melibatkan unsur rasuah atau salah guna kuasa, termasuk rakaman suara atau video yang tular, sekiranya terdapat asas untuk tindakan lanjut.
“Saya mohon semua pihak bersabar dan beri ruang kepada SPRM untuk menyempurnakan siasatan sebelum sebarang perkembangan lanjut diumumkan,” tambah beliau.