KULAI: Seorang warga emas berstatus penduduk tetap (PR) Singapura didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaannya.
Majistret R. Salini menjatuhkan hukuman itu terhadap Long Sa Kow, 64, dengan perintah penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memandu Volkswagen Jetta perak sepatutnya menggunakan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, namun telah menutup huruf ‘S’ dan ‘M’ supaya kelihatan sebagai LJ 8967, seolah-olah kenderaan tempatan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21/4, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam pada jam 10.30 malam, 2 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan mendapati tertuduh berbuat demikian bagi membolehkan kenderaannya mengisi petrol subsidi RON95.
Kes itu terbongkar selepas satu video tular di media sosial pada 3 Januari memaparkan kereta bernombor pendaftaran Singapura mengisi RON95, sebelum polis menjejaki suspek sehingga ke Singapura dan mengarahkannya hadir ke IPD Kulai untuk siasatan.
Timbalan Pendakwa Raya memohon hukuman tegas sebagai pengajaran kepada orang ramai, manakala peguam tertuduh merayu hukuman ringan kerana anak guamnya seorang pesara yang menanggung keluarga.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan hukuman denda RM9,000 bagi menegaskan bahawa perbuatan menipu nombor pendaftaran demi menikmati subsidi adalah satu kesalahan serius.










