ILMU Claw: AI ‘Aktif’ Pertama Malaysia Yang Bekerja Untuk Anda

KUALA LUMPUR: Selepas pelancaran model kecerdasan buatan (AI) tempatan pertama negara, ILMU, pada Ogos lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pengenalan ILMU Claw, iaitu teknologi AI generasi baharu yang bukan sekadar menjawab soalan, tetapi terus melaksanakan tugasan.

Dibangunkan oleh YTL AI Labs, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Foong Chee Mun menjelaskan bahawa ILMU Claw berbeza daripada chatbot biasa yang sering digunakan orang ramai hari ini.

“Kalau kita lihat ChatGPT atau Claude, ia lebih kepada teknologi pasif, kita tanya, ia jawab. Ia beri maklumat atau cadangan,” katanya.

“Namun OpenClaw dan ILMU Claw adalah jenis teknologi berbeza, dimana ia merupakan ejen AI yang aktif sepenuhnya,” jelasnya.

Secara mudah, jika chatbot hanya memberi jawapan, ejen AI seperti ILMU Claw pula bertindak seperti pembantu peribadi digital yang boleh menyelesaikan tugasan bagi pihak pengguna.

Contohnya, jika AI biasa hanya memberi resipi masakan, ILMU Claw boleh terus log masuk ke aplikasi runcit anda, masukkan bahan ke dalam troli, dan tetapkan penghantaran.

Pendek kata, ia berfungsi sebagai “otak dan tangan” digital yang membantu menjimatkan masa serta mengurangkan kerja manual harian.

Foong yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang AI berkata, antara kegunaan kegemarannya termasuk meminta ejen AI menyaring e-mel dan merumuskan perkara penting sebelum mesyuarat.

“Saya boleh arahkan ia membaca semua e-mel dan senaraikan lima perkara utama yang perlu saya tahu. Ia boleh akses Gmail dan Google Calendar untuk lakukan itu,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh “melatih” ejen AI dengan kemahiran tertentu.

Contohnya, mengawal sistem audio di rumah, termasuk memainkan muzik rock kuat setiap hari pada pukul 7 pagi sebagai ‘alarm’.

Lebih menarik, ILMU Claw membolehkan sesiapa sahaja membina ejen AI sendiri mengikut keperluan harian, malah berpotensi membangunkan sistem digital seperti aplikasi mudah alih.

ILMU, singkatan kepada Intelek Luhur Malaysia Untukmu, dibangunkan menggunakan data tempatan, menjadikannya lebih memahami konteks budaya dan bahasa di Malaysia.

Ia dioptimumkan untuk Bahasa Melayu, “Malaysian English” (Manglish), serta dialek tempatan seperti Kelantan.

Sebagai sebahagian daripada pelancarannya, YTL AI Labs turut menaja acara OpenClaw KL pada 24 April lalu, yang memberi peluang kepada pembangun teknologi mencuba sendiri keupayaan ILMU Claw.

Dikuasakan oleh Ilmu-Nemo-Nano dan dibangunkan dengan kerjasama Nvidia, sistem ini beroperasi sepenuhnya menggunakan infrastruktur tempatan melalui YTL AI Cloud yang selamat.

Semua data dihoskan di YTL Green Data Centre Park di Kulai, Johor untuk memastikan data kekal dalam negara.

Menurut Foong, ini merupakan langkah penting ke arah membina “AI berdaulat” untuk Malaysia.

“AI adalah teknologi paling besar dalam hidup kita. Dalam satu atau dua tahun lagi, kerja yang dihasilkan AI mungkin melebihi kerja manusia,” katanya.

Beliau turut menegaskan sektor kritikal seperti pertahanan, kesihatan dan kehakiman perlu menggunakan AI yang tertakluk kepada undang-undang tempatan.

“Jika kita terlalu bergantung kepada platform luar dan perkhidmatan itu ditarik balik suatu hari nanti, sebahagian besar operasi negara boleh terjejas. Sebab itu AI berdaulat penting untuk ketahanan negara,” jelasnya lagi.

Foong berkata YTL AI Labs berhasrat membangunkan keseluruhan ekosistem AI tempatan, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berdaya saing dalam era teknologi pintar.

BBerkaitan

Latest articles