Hamzah: Saya Ke Sabah Bukan Untuk Lobi Wakil Rakyat

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menafikan khabar angin bahawa beliau ke Sabah bersabit dengan usaha menggantikan kerajaan negeri dengan pentadbiran yang baru.

Sebaliknya beliau menegaskan lawatannya ke negeri di bawah bayu itu atas urusan kementeriannya, selain bertemu dengan agensi dan pegawai di bawah KDN.

Pentadbiran Shafie Di Sabah Dijangka Tumbang?

Ujarnya, urusan ke Sabah termasuk membincangkan langkah mengurangkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk isu penyeludupan manusia.

“Saya tidak, yang saya tahunya, saya melawat lorong-lorong tikus (Pantai Timur Sabah), belum ada ‘tikus-tikus’ yang jumpa dalam tiga hari ini.

“Mungkin yang bercakap mereka, saya tidak ada kerana saya datang untuk bertemu sendiri pegawai-pegawai, agensi yang bersama dengan saya,” katanya.

Ketika ini spekulasi bertiup kencang kononnya kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sedang goyang dan bakal digantikan dengan kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Kononnya wujud gerakan menukar kerajaan Warisan setelah mahkamah baru-baru ini membebaskan Datuk Seri Musa Aman daripada kesemua 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkenaan konsesi balak.

Isu ketua menteri Sabah pernah menjadi hangat di negeri itu akibat perebutan antara Musa dan Shafie yang menyaksikan kes tersebut dibawa ke mahkamah, dan menetapkan Shafie sebagai ketua menteri yang sah.

BBerkaitan

Latest articles