Hakim Sifatkan Permohonan Tahanan Rumah Najib ‘Tak Mendesak’

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Tinggi untuk dipindahkan serta-merta ke kediamannya selepas mahkamah memutuskan kandungan Titah Adendum yang dipohon tidak menunjukkan keadaan mendesak.

Hakim Alice Loke Yee Ching menegaskan, adendum itu sekadar tambahan kepada perintah pengurangan hukuman yang diputuskan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Januari tahun lalu, tanpa sebarang keputusan khusus mengenai tahanan rumah.

Dalam penghakiman menolak semakan kehakiman, hakim menjelaskan bahawa jika isu pengurangan hukuman dibincangkan dalam mesyuarat lembaga, tiada alasan munasabah mengapa mekanisme tahanan rumah tidak turut diputuskan ketika itu.

Malah, mahkamah menegaskan tiada peruntukan undang-undang sedia ada yang membolehkan pelaksanaan tahanan rumah di Malaysia.

Hujah pasukan pembelaan yang merujuk Seksyen 43 Akta Penjara 1995 dan Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 turut ditolak kerana “release on licence” ialah budi bicara Ketua Pengarah Penjara, bukan mekanisme tahanan rumah.

Hakim Alice turut menekankan bahawa meskipun kuasa pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong, pelaksanaannya mesti mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, termasuk melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan, pertimbangan bertulis Peguam Negara dan nasihat rasmi sebelum keputusan dibuat.

Sebarang perintah yang mengubah sifat pemenjaraan, seperti tahanan rumah, perlu dibincangkan dan diputuskan mengikut prosedur tersebut.

Mahkamah juga menolak hujahan pembelaan bahawa keputusan muktamad Seri Paduka tidak perlu dibincangkan atau dilafazkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, selaras pandangan Mahkamah Persekutuan bahawa kuasa pengampunan tertakluk kepada had prosedur perlembagaan.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang bagi kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International sejak 23 Ogos 2022.

BBerkaitan

Latest articles