KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan dalam waktu terdekat, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat semakin mengukuhkan kedudukannya berikutan persepsi positif terhadap hubungan mesra dengan kerajaan Persekutuan.
Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Azmi Hassan, berpendapat hubungan dua hala yang baik dengan Putrajaya memberi kelebihan besar kepada GRS, khususnya dalam menangani isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang bakal menjadi antara tumpuan utama kempen kali ini.
“Rakyat lebih yakin apabila kerajaan negeri dilihat mampu berunding terus dengan kerajaan pusat dalam isu berkaitan hak Sabah. GRS berjaya menampilkan imej sebagai kerajaan yang bekerjasama, namun tetap berpegang kepada autonomi negeri,” katanya memetik temubual bersama Bernama, hari ini.
Menurut beliau, strategi mengekalkan kestabilan politik sambil memperjuangkan tuntutan MA63 menjadikan GRS dilihat sebagai pentadbiran yang seimbang iaitu pragmatik dalam diplomasi, tetapi tegas mempertahankan hak negeri.
Sementara itu, Parti Warisan pula dijangka mengekalkan peranannya sebagai kuasa utama dalam blok pembangkang, namun berkemungkinan memilih untuk bergerak solo bagi menonjolkan imej bebas daripada pengaruh kerajaan persekutuan.
“Warisan mungkin cuba meyakinkan pengundi bahawa Sabah mampu berdiri sendiri tanpa terlalu bergantung kepada Putrajaya. Namun, persoalannya ialah sejauh mana pendekatan itu praktikal dalam realiti pentadbiran semasa,” jelas Azmi.
Dalam masa sama, beliau menjangkakan Barisan Nasional (BN) kekal sebagai sekutu tidak rasmi GRS, walaupun peranan sebenar parti itu dalam gabungan berkenaan sering menjadi perbincangan.
“Bagi Amanah dan PAS, peluang mereka agak terhad kerana faktor budaya serta persepsi masyarakat terhadap gaya politik yang kurang serasi dengan konteks Sabah,” tambahnya.
Azmi turut menjelaskan, penyertaan Amanah di beberapa kerusi berisiko memecahkan undi pembangkang dan boleh menjejaskan kekuatan blok itu secara keseluruhan.