KUALA LUMPUR: Gagasan “kolaborasi agung” antara parti-parti Melayu-Islam boleh menjadi satu kekuatan besar jika dibina secara berprinsip, jelas peranan dan dipimpin dengan kebijaksanaan, kata Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Beliau menegaskan, idea itu tidak seharusnya dianggap ancaman kepada mana-mana parti kerana hanya parti yang kukuh mampu memimpin penyatuan yang benar-benar memberi makna kepada rakyat yang semakin bosan dengan perpecahan politik Melayu-Islam.
Menurutnya, hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapatkan persetujuan perwakilan mengenai gagasan itu bukan bertujuan menggugat Kerajaan Perpaduan, sebaliknya menunjukkan pendekatan berfikir jauh ke hadapan dan tidak terburu-buru.
“Penyatuan hanya bermakna jika ia menyatukan agenda, menguatkan suara dan menghentikan perpecahan yang selama ini melemahkan kedudukan Melayu-Islam dalam negara majmuk,” katanya dalam hantaran Facebook.
Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata, sama ada kolaborasi agung menguntungkan atau merugikan UMNO bergantung kepada bentuk dan prinsip kerjasama itu.
Jika UMNO kekal sebagai paksi penyatuan dengan identitinya sebagai ‘rumah besar orang Melayu’, ia boleh mengembalikan keyakinan rakyat.
Namun, beliau memberi amaran, kerjasama yang kabur matlamatnya atau mengorbankan prinsip perjuangan hanya akan melemahkan parti dari dalam.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kestabilan negara mesti diutamakan dan Kerajaan Perpaduan tidak wajar digugat.
Katanya, politik matang menuntut keseimbangan antara cita-cita penyatuan dan tanggungjawab mentadbir negara.
“Penyatuan yang baik lahir daripada kesedaran, bukan kemarahan atau dendam politik. Masa depan Melayu dan Islam memerlukan kesepakatan yang terancang dan berperingkat,” tegasnya.










