More

    Gerakan Selar DAP Politikkan Isu Darurat

    DAP sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha negara menangani pandemik COVID-19, bukannya terus mempolitikkan Proklamasi Darurat demi mengaut keuntungan politik parti.

    Parti Gerakan Rakyat Malaysia menegaskan DAP patut fokus usaha untuk membantu dalam memerangi penularan wabak COVID-19 dan menjaga kebajikan semua rakyat yang terkesan akibat daripada bahana pandemik yang telah berlanjutan hampir setahun ini.

    Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan mempertikaikan titah Yang di-Pertuan Agong oleh Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menunjukkan ketidakhormatan dan ketidaksetiaan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

    “Saya ingin mengingatkan semua pemimpin DAP bahawa semasa Yang di-Pertuan Agong menolak permintaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat pada 26 Oktober 2020 lalu, mereka telah memuji akan kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong.

    “Mengapa kali ini mereka mempertikaikan keputusan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong? Ini menunjukkan bahawa DAP hanya mementingkan kepentingan diri mereka sendiri dan tidak pernah mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

    Dominic seterusnya mengingatkan rakyat berwaspada dengan permainan DAP, apatah lagi Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan darurat dilakukan secara adil dan telus.

    Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

    Beliau juga berkata, pakar-pakar undang, termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram telah menyambut baik pengisytiharan darurat baru-baru ini.

    Selain itu, Gopal Sri Ram juga menegaskan ia sebenarnya juga boleh dilaksanakan pada tahun lepas semasa kali pertama usul itu dicadangkan.

    Dominic mengecam DAP kerana terus menerus memainkan sentimen politik berbaur hasutan untuk mengecam tindakan kerajaan tatkala negara sedang berdepan situasi genting dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

    ”Kelakuan mereka ini sangat tidak semenggah dan perkara sebegini tidak sepatutnya diberikan sebarang perhatian sama sekali,” ujarnya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini