KUALA LUMPUR – Industri di negara ini perlu menawarkan gaji yang setimpal dengan tuntutan pekerjaan bagi menarik minat pekerja tempatan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, pekerja tempatan menilai manfaat ekonomi sesuatu pekerjaan sebelum membuat keputusan untuk menerimanya.
Menurutnya, kesanggupan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura untuk bekerja menunjukkan mereka bersedia menempuh perjalanan yang sukar sekiranya pendapatan diterima berbaloi.
“Walaupun susah perjalanan satu jam lebih, balik satu jam lebih, tetapi dia ambil kerja itu kerana ada nilai ekonomi yang dia dapat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucapan perasmian penutup Voices of HER Forum 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini, lapor Buletin TV3.
Johari berkata, pekerjaan tempatan yang tidak menawarkan pulangan ekonomi menarik boleh mendorong rakyat memilih sumber pendapatan lain, termasuk menjadi pemandu e-hailing yang memberikan fleksibiliti untuk mengurus keperluan keluarga.
Sehubungan itu, katanya, industri yang memohon tenaga kerja asing perlu terlebih dahulu menjelaskan jenis pekerjaan dalam kategori kotor, berbahaya dan sukar (3D) yang memerlukan pekerja berkenaan.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak berhasrat mengurangkan pekerja asing secara mendadak, sebaliknya langkah itu perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan industri.
Sebagai contoh, jika sesebuah industri mempunyai 1,000 pekerja dan hanya 20 peratus diperlukan untuk pekerjaan 3D, pengurangan pekerja asing boleh dilakukan secara berperingkat bagi pekerjaan di luar kategori itu.
Dalam pada itu, Johari berkata, kebergantungan berlebihan terhadap pekerja asing menyebabkan sesetengah syarikat kurang terdorong untuk melaksanakan automasi.
Menurutnya, penggunaan kos tenaga kerja asing sebagai penanda aras menyebabkan struktur kos buruh sesetengah industri kekal rendah, sekali gus memberi tekanan kepada graduan dan pekerja tempatan yang mempunyai kelayakan.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati apabila kelayakan yang dimiliki tidak diterjemahkan kepada perbezaan gaji yang bermakna berbanding pekerja asing, yang menurutnya menerima sekitar RM1,800 hingga RM1,900.
Justeru, Johari menegaskan industri tempatan perlu meningkatkan produktiviti melalui automasi serta menawarkan struktur gaji lebih kompetitif bagi menarik tenaga kerja tempatan.










