Fatwa Haram: Muhyiddin Akan Disiasat

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan disiasat susulan ucapan kontroversinya yang mengeluarkan fatwa haram dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain telah mengesahkan perkara itu, sebagaimana memetik laporam MalaysiaGazette hari ini.

Katanya, siasatan polis ke atas Ahli Parlimen Pagoh itu telah dibuka di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam.

“Dia juga ( Muhyiddin) sedang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Tambah Razarudin, setakat ini, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan isu berkenaan di ibu negara.

“Ya, ada satu laporan diterima dan kita telah buka siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman.

“Tindakan selanjutnya dengan mengambil keterangan beliau dalam masa terdekat nanti,” katanya lagi.

Pada Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dikatakan telah mengeluarkan kenyataan adalah haram hukumnya bagi pengundi yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada PRK Parlimen Pulai nanti.

Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat yang dilanda kesusahan pada masa ini.

BBerkaitan

Latest articles