BATU PAHAT: Pakatan Harapan (PH) menolak ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming yang menjangkakan Barisan Nasional (BN) bakal meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dengan menyifatkan unjuran itu tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan.
Ketua Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun beliau menghormati hak Kian Ming untuk mengemukakan pandangan, beliau berpandangan analisis bekas pemimpin DAP itu tersasar daripada realiti kempen yang sedang berlangsung.
Menurut Fahmi, beliau juga tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa kelewatan PH melancarkan manifesto serta keputusan tidak menamakan calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ menjadi faktor yang melemahkan gabungan itu dalam PRN Johor.
“Saya kenal Dr Ong Kian Ming sebagai sahabat dan kami sering berbeza pandangan sejak beliau menjadi Ahli Parlimen lagi. Beliau berhak menyuarakan pendapat, tetapi pada saya kali ini ramalannya meleset dan jauh daripada realiti,” katanya di sidang media selepas menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Istana, hari ini.
Mengulas isu manifesto, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan PH sengaja memilih untuk melancarkan dokumen itu hanya selepas semua kandungannya dimuktamadkan dan dipersetujui barisan kepimpinan tertinggi gabungan.
Katanya, pendekatan itu diambil bagi memastikan manifesto yang ditawarkan benar-benar lengkap serta mendapat persetujuan semua pihak termasuk Perdana Menteri.
“Apabila semua kandungan telah dipersetujui, termasuk oleh kepimpinan tertinggi, barulah kita lancarkan manifesto. Ia dibuat pada Jumaat, iaitu ketika bermulanya minggu kedua kempen dan saya percaya waktunya tepat.
“Selepas calon diperkenalkan, kedua-dua pihak kini membentangkan manifesto masing-masing. Jadi, saya tidak melihat soal masa pelancaran itu sebagai satu isu,” katanya.
Sebelum ini, Ong Kian Ming yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilaporkan meramalkan BN berpotensi menguasai sehingga 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada PRN kali ini.










