PALONG: Tiada sebarang arahan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mana-mana menteri atau timbalan menteri meletakkan jawatan susulan amaran berkaitan disiplin ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil, menjelaskan setakat ini Anwar hanya mengingatkan semua anggota pentadbiran kerajaan supaya mengekalkan semangat perpaduan, selain mempamerkan disiplin dan profesionalisme sepanjang tempoh berkempen.
Menurut beliau, Perdana Menteri memahami bahawa proses demokrasi memberi ruang kepada setiap parti untuk mempunyai pandangan dan pendirian berbeza, termasuk dalam kalangan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan juga pernah bertanding secara berasingan. Namun, apa yang ditekankan Perdana Menteri ialah semua pemegang jawatan dalam kerajaan perlu terus saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Ziarah Kasih di Felda Palong 2, semalam.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata Anwar turut mengambil kira kesan yang mungkin timbul terhadap keyakinan pelabur sekiranya berlaku ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, sebarang tindakan di peringkat Persekutuan bukan sahaja memberi implikasi kepada politik domestik, malah boleh mempengaruhi persepsi pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan negara.
“Justeru, aspek kestabilan politik dan keyakinan pelabur menjadi antara pertimbangan utama Perdana Menteri dalam menguruskan sebarang perbezaan yang timbul sepanjang proses demokrasi berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, Anwar dilaporkan memberi amaran bahawa mana-mana menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan dalam agensi kerajaan yang menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika berkempen pada PRN wajar berundur daripada jawatan masing-masing.
Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pula dilaporkan berkata seseorang menteri tidak perlu menunggu lama untuk melepaskan jawatan sekiranya khidmatnya tidak lagi diperlukan dalam pentadbiran kerajaan.










