KLANG: Empat individu termasuk seorang wanita cedera selepas sebuah lori tanah dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiga kenderaan lain di Jalan Meru Tambahan, Kampung Bukit Cerakah, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, kemalangan membabitkan dua lori, masing-masing lori tanah dan lori sampah serta dua buah kereta jenis Perodua Myvi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.07 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar digerakkan ke lokasi.
“Kemalangan itu menyebabkan tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 34 tahun cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, semua mangsa telah berjaya dikeluarkan dari kenderaan masing-masing sebelum ketibaan bomba dan diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi menyelamat selesai sepenuhnya pada jam 9.45 pagi.
Terdahulu, satu rakaman video kejadian berkenaan tular di media sosial memaparkan detik sebuah lori tanah meluncur laju sebelum merempuh beberapa kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di kawasan tersebut.