Ebit Lew Disiasat Atas Dakwaan Rogol Mondy Tattoo

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pihaknya kini menyiasat pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew atas dakwaan rogol susulan laporan yang dibuat oleh pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily memaklumkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan rogol, lima hari sebelum Ebit Lew membuat laporan polis.

“Setakat ini polis telah memanggil 13 saksi berhubung kedua-dua kes tersebut.

“Sebaik sahaja tiba di Malaysia, Ebit Lew membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya yang dikeluarkan menerusi sebuah ‘podcast’ khas bertajuk ‘The Mondy Tattoo Inteview’.

“Selain satu lagi laporan polis penafian terhadap kes rogol,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman.

Kata Mohd. Shuhaily, setakat ini, wanita warga Indonesia itu masih berada di dalam Malaysia.

Dalam pada itu, ditanya tindakan polis merampas telefon milik Mondy, beliau berkata, pihaknya mengambilnya untuk ketelusan siasatan.

“Kita ambil telefon Mondy untuk siasat. Memang ada peruntukan undang-undang bila ambil kita siasat pengisian sama dengan apa yang dicakap, masa kejadian dan lain-lain lagi.

“Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis telah merakam percakapan penyanyi rap, Caprice dan Mondy Tattoo berhubung laporan yang dibuat Ebit Lew, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, rakaman percakapan tersebut diambil di Ibu pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor bagi siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles