Dr Noor Hisham Ingatkan Masyarakat Terus Berdisiplin

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai untuk terus berdisiplin dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi dalam usaha membendung jangkitan COVID-19 di Malaysia.

Dalam status Facebook beliau, Noor Hisham Abdullah malam tadi, beliau memaklumkan virus itu kini merebak dengan cepat dan menjangkiti dalam komuniti tanpa mengira bangsa, agama, kedudukan ataupun darjat.

“Sila duduk di rumah dan jika terpaksa keluar patuhilah segala SOP (prosedur operasi standard,” katanya.

Beliau turut berkongsi gambar maklumat pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 mengikut daerah-daerah di negara ini setakat hari semalam.

Sebanyak 39,736 kes baharu direkodkan dalam tempoh berkenaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, Selangor kekal mencatatkan jumlah kes jangkitan tertinggi iaitu 13,587 kes, diikuti Sabah (5,933), Johor (4,997), Kuala Lumpur (4,669), Pulau Pinang (2,404), Negeri Sembilan (1,414).

Sarawak pula merekodkan 1,342 kes jangkitan, manakala Kelantan (1,278), Kedah (1,000), Perak (884), Melaka (785), Terengganu (480), Pahang (420), Putrajaya (310), Labuan (170) dan Perlis 63 kes.

Dalam tempoh berkenaan juga, hanya Sarawak merekodkan kawasan zon hijau iaitu di sembilan daerah membabitkan Mukah, Lundu, Lawas, Tatau, Bau, Daro, Matu, Song dan Saratok.

BBerkaitan

Latest articles