DNAA Ahmad Zahid, Punca Syed Saddiq Tarik Sokongan Terhadap Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan, Presiden MUDA menjelaskan tindakan itu diambil sebagai tanda protes terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 tuduhan.

Syed Saddiq telah mengutuskan surat untuk berada dalam blok pembangkang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurutnya, langkah yang diambil adalah sesuatu yang sukar namun perlu dan berbaloi.

“Tindakan kerajaan hari ini menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri menyukarkan MUDA untuk terus kekal dalam kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan yang diambil bukanlah kali pertama kerana pernah mengambil tindakan yang sama pada 2020 ketika Langkah Sheraton berlaku dan ditawarkan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau menolak tawaran berkenaan dan melawan dengan ugutan selepas berbuat demikian.

“Saya lawan kerana mahu membina Malaysia yang bermaruah dan berintegriti. Siapa sangka kerajaan yang dianggap mahu melaksanakan reformasi akhirnya menggugurkan tuduhan rasuah hanya semata-mata untuk kuasa.

“Saya tidak akan membenarkan Malaysia untuk menormalisasikan rasuah. Saya adalah rakyat yang bangga dan mahu melihat negara ini menjadi negara maju mematuhi undang-undang dan meraikan kepelbagaian,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau mahu menjadi kuasa ketiga dalam Parlimen dan menjadi suara rakyat dengan memainkan peranan semak dan imbang.

Menurutnya, MUDA akan tetap menyokong semua reformasi institusi dan perihal rakyat.

MUDA sebelum ini memberitahu, mereka akan menilai semula sokongan terhadap kerajaan serta mungkin turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Ahmad Zahid.

Kerajaan kini disokong oleh 148 daripada 222 anggota parlimen, dan ia merupakan jumlah asas untuk membentuk majoriti dua per tiga dalam Dewan Rakyat.

BBerkaitan

Latest articles