‘DNA UMNO, BN Bukan Penderhaka’, Jentera Perlu Patahkan Fitnah

KUALA PILAH: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan sebuah parti yang menderhaka kepada institusi Raja-Raja, sebaliknya sejak penubuhannya menjunjung tinggi kedaulatan Raja serta prinsip taat setia kepada negara.

Beliau berkata, dakwaan yang melabel pemimpin BN Negeri Sembilan sebagai penderhaka susulan kemelut politik negeri sebelum ini hanyalah fitnah politik yang perlu dijawab secara berhemah dengan fakta, bukannya dibiarkan membentuk persepsi rakyat.

Menurutnya, DNA perjuangan UMNO sejak ditubuhkan tidak pernah bertentangan dengan institusi diraja, malah parti itu lahir daripada semangat mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“DNA UMNO dan DNA BN bukan DNA penderhaka seperti yang didakwa. UMNO lahir di Istana Besar Johor dan kita tidak akan sesekali menderhaka kepada institusi Raja.

“Kita mahu menang dengan kebenaran. Sebab itu segala fitnah yang dilemparkan kepada parti mesti dipatahkan,” katanya ketika berucap pada program perjumpaan jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, hari ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata jentera BN di Negeri Sembilan tidak boleh membiarkan naratif lawan terus menguasai pemikiran rakyat, sebaliknya perlu tampil menjelaskan fakta berhubung perubahan kerajaan negeri serta menjawab segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kepimpinan parti.

Beliau mengingatkan pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 perlu dijadikan iktibar agar BN tidak sekali lagi tewas akibat perang persepsi dan janji yang akhirnya gagal ditunaikan.

“Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Kita sudah melalui pengalaman 2018 apabila rakyat dijanjikan pelbagai perkara, tetapi akhirnya tidak seperti yang diharapkan.

“Sebab itu calon-calon kita, bersama Wanita, Pemuda dan Puteri perlu turun padang menjelaskan keadaan sebenar serta mematahkan setiap fitnah,” katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz turut berkongsi pengalaman kemenangan besar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai bukti bahawa kekuatan organisasi dan kerjasama semua parti komponen mampu menghasilkan keputusan cemerlang.

Beliau berkata, kejayaan tersebut dicapai hasil kesepaduan UMNO, MCA, MIC serta seluruh jentera dan penyokong yang bergerak tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“Kalau Johor boleh buat, Negeri Sembilan juga boleh. Formula kemenangan kita ialah kerja berpasukan. Melayu, Cina, India dan Orang Asli bergerak sebagai satu keluarga.

“Kalau kita boleh bantu MIC menang di kawasan majoriti Felda, takkan MIC dan MCA tidak boleh bantu kita di Negeri Sembilan. Semua perlu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau turut menggesa calon dan jentera BN menjadikan peningkatan majoriti kemenangan di Johor sebagai pembakar semangat sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, antara contoh ialah kemenangan BN di DUN Permas yang mencatat majoriti melebihi 29,000 undi, selain beberapa kerusi lain yang turut merekodkan lonjakan sokongan rakyat.

Onn Hafiz menegaskan, kejayaan besar itu bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan calon, sebaliknya lahir daripada pengorbanan jentera akar umbi yang bekerja siang dan malam demi memastikan kemenangan parti.

“Pemimpin di atas pentas tidak akan menang tanpa kerja keras jentera di bawah. Apabila sudah diberi mandat, jangan lupa terus turun padang dan berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles