“Datuk Botak” Tak Tawar Apa-apa Kepada MP PAS

KUALA LUMPUR: Tidak ada mana-mana individu, termasuk ‘Datuk Botak’ yang mendekati wakil rakyat PAS supaya cenderung menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari hari ini.

“Setakat ini dalam makluman kita tidak ada,” katanya selepas diminta mengulas jika ada individu tertentu mendekati wakil rakyat parti itu untuk tujuan berkenaan.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa “Datuk Botak” yang sebelum ini dikatakan menjadi dalang meraih sokongan Ahli Parlimen parti itu turut menawarkan habuan kepada wakil rakyat PAS bagi tujuan sama.

Dalam pada itu, Fadhli berkata kerajaan seharusnya menolak sokongan empat Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) jika benar-benar berpegang kepada prinsip.

“Ia bukti kerajaan hari ini tak tahu malu. Mereka kata menentang aktiviti lompat, sepatutnya bila empat Ahli Parlimen tukar sokongan…mereka perlu tolak sokongan ini kerana bertentangan prinsip mereka selama ini.

“Apa kerajaan lakukan ini akan makan diri, mungkin tak lama lagi atau satu masa nanti,” katanya.

Beliau turut berharap semua Ahli Parlimen terbabit iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menarik balik sokongan terhadap perdana menteri.

“Ya kita kecewa. Kita harap mereka yang pergi ke seberang sana dapat timbang semula tindakan dan tarik balik apa mereka laksanakan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles