KUALA LUMPUR: DAP menegaskan parti itu tidak akan meninggalkan Kerajaan Perpaduan sebelum tamat penggal pentadbiran kerana percaya hanya melalui politik gabungan, perubahan dalam pentadbiran negara dapat dilaksanakan.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, meskipun bergerak secara solo lebih mudah, pendekatan itu hanya meletakkan sesebuah parti sebagai pembangkang tanpa peluang untuk terlibat secara langsung dalam proses membina dan mentadbir negara.
Menurut beliau, DAP perlu berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa pentadbiran bagi memastikan agenda perubahan yang diperjuangkan dapat direalisasikan.
“Jika bergerak bersendirian, kita hanya mampu memainkan peranan sebagai pembangkang. Kita tidak akan menjadi sebahagian daripada proses pembinaan negara atau tadbir urus kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama CNA Singapura.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menjelang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, selain Kongres Khas DAP yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos.
Mengulas hubungan DAP dan Barisan Nasional (BN) yang kini bertembung dalam pilihan raya negeri, Loke mengakui persaingan politik itu memberi kesan terhadap hubungan antara kedua-dua pihak, namun menegaskan kerjasama dalam kerajaan masih diteruskan secara profesional.
Katanya, semua anggota Kabinet tetap menjalankan tanggungjawab masing-masing dan menghadiri mesyuarat seperti biasa demi memastikan kestabilan pentadbiran negara terus terpelihara.
“Saya tidak akan menafikan bahawa ia memberi kesan. Namun kami berusaha mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi supaya kerajaan terus kukuh,” katanya.
Loke turut memaklumkan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi komitmen untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri.
Bagaimanapun, beliau berkata, soal sama ada PH dan BN akan terus bekerjasama atau bergerak secara berasingan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) hanya akan diputuskan apabila Parlimen dibubarkan kelak.
Sementara itu, dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berpandangan DAP mungkin berdepan tekanan lebih besar supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan baharu di Negeri Sembilan.
Menurut Ong, perkembangan itu bergantung kepada kemampuan BN memperoleh kerusi mencukupi untuk mentadbir negeri sama ada secara bersendirian atau dengan sokongan terhad daripada Perikatan Nasional (PN).
Pada Februari lalu, Loke dilaporkan berkata kira-kira 4,000 perwakilan yang menghadiri Kongres Khas DAP bulan depan akan mengundi bagi menentukan sama ada pemimpin parti perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan, termasuk sebagai menteri, timbalan menteri, exco, ahli majlis tempatan serta lantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).










