Dakwa Jadi Mangsa ‘Body Shaming’, Rosmah Saman Harith Iskander

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor mengambil tindakan undang-undang terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander Musa dengan memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi selepas mendakwa menjadi mangsa penghinaan terhadap fizikal menerusi satu persembahan komedi awal tahun ini.

Saman berkenaan difailkan oleh Rosmah, 75, selaku plaintif melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, dengan Harith dinamakan sebagai defendan.

Menurut penyataan tuntutan, tindakan itu berpunca daripada persembahan stand-up comedy bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour yang berlangsung di Swiss-Garden Hotel, Melaka pada 17 Januari lalu.

Rosmah mendakwa sepanjang persembahan tersebut, Harith memaparkan beberapa imej makhluk mitologi yang digambarkan menyeramkan seperti toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambar beliau sebagai sebahagian daripada bahan jenaka.

Beliau turut mendakwa Harith membuat lawak yang membawa maksud seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap akan ternampak sesuatu yang menakutkan, sebelum gambarnya dipaparkan kepada penonton.

Menurut Rosmah, tindakan itu memberi gambaran seolah-olah rupa parasnya disamakan dengan makhluk seram, sekali gus mengaibkan serta menjadikannya bahan ejekan di hadapan khalayak.

Plaintif mendakwa kenyataan dan paparan tersebut dibuat secara terbuka dengan niat untuk merendahkan maruah, nama baik serta reputasinya melalui penghinaan terhadap penampilan fizikal atau body shaming.

Rosmah turut mendakwa rakaman persembahan itu kemudiannya dimuat naik ke beberapa platform media sosial termasuk TikTok, menyebabkan kandungan berkenaan ditonton ratusan ribu pengguna sebelum terus tersebar secara meluas.

Menurutnya, penyebaran video itu mengundang pelbagai kecaman, sindiran dan penghinaan terhadap dirinya, selain menyebabkan beliau mengalami tekanan emosi, rasa malu serta menjejaskan reputasi dan kedudukan sosialnya.

Sehubungan itu, Rosmah memohon mahkamah memberikan ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos guaman serta apa-apa relif lain yang difikirkan wajar.

Beliau turut memohon perintah supaya Harith menghentikan sebarang kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, memadam semua kandungan berkaitan daripada platform media sosial serta mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat.

Selain itu, Rosmah juga meminta mahkamah mengarahkan defendan menyiarkan penarikan balik kenyataan berkenaan menerusi sekurang-kurangnya dua akhbar arus perdana dan akaun media sosial yang dipersetujui.

BBerkaitan

Latest articles