#Covid-19 :- Rancang Aktiviti Luar, Amal Normal Baharu – DS Adham Baba

Orang ramai dinasihatkan merancang segala aktiviti luar termasuk rentas negeri sepanjang tempoh Pelaksanaan Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Walaupun teruja dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan, rakyat tetap perlu membiasakan diri dengan normal baharu untuk mengawal penularan COVID-19.

Nasihat itu dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan zon hijau terus berkekalan kerana rakyat kini berperanan sebagai ‘petugas barisan hadapan’.

“Dalam keterujaan ramai nak balik kampung dan melakukan aktiviti luar, kita minta orang ramai rancang pergerakan masing-masing.

“Kita bimbang jangkitan berlaku, syukur sudah 14 hari berlalu, kluster raya (Aidilfitri) tidak berlaku setakat ini.

“Maka, apabila PKPP diumumkan oleh Perdana Menteri, pelepasan dan pembukaan banyak sektor ekonomi, boleh rentas negeri, rakyat hendaklah membudayakan normal baharu.

“Rancang betul-betul pergerakan. Jika beramai-ramai khuatir (berlaku) jangkitan baharu. Patuh prosedur operasi standard (SOP), jangan berkumpul di tempat awam.

“Jika bergejala dapatkan nasihat, muat turun MySejahtera kerana banyak banyak kegunaannya,” katanya menerusi perbualan telefon dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Dr Adham berkata, kementerian berbangga apabila dalam tempoh 88 hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ia dapat meratakan lengkungan jangkitan COVID-19, khususnya jangkitan tempatan.

“Semalam, ada tujuh kes jangkitan baharu, tiada kes warga tempatan. Ada satu kes jangkitan tempatan tetapi membabitkan bukan warga negara dan yang lain kes import yang baru balik dari luar negara,” katanya.

Justeru beliau berharap orang ramai meneruskan tanggungjawab mereka untuk membiasakan diri dengan normal baharu dalam PKPP bagi mempertahankan kawasan hijau.

“Maksud pemulihan dalam PKPP ialah kita mahu laksanakan strategi dalam menghadapi pembukaan semua sektor ekonomi dan kita tetap perkukuh kesihatan awam, yang mana tangungjawab itu turut diberikan kepada komuniti.

“Permerkasaan komuniti untuk lindungi kawasan hijau. Jika dijangkiti, mesti asing dengan segera, cari kontak mereka, kuarantin di rumah, komuniti jaga sendiri supaya kawasan mereka tidak ada jangkitan.

“Rakyat kini petugas barisan hadapan yang sebenar untuk lindungi diri, keluarga dan kejiranan sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles