Malaysia telah diletakkan di kedudukan ke-4 di peringkat dunia dalam satu kaji selidik berkaitan penerimaan rakyat terhadap langkah kerajaan menangani pandemik Covid-19 mengatasi Singapura dan Indonesia yang kedua-dua berada di kedudukan ke-7.
Ketua Pegawai Eksekutif agensi hartanah IQI Global Group, Kashif Ansari berkata ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan apabila rakyat Malaysia merasakan kerajaan telah bertindak dengan baik berdepan cabaran pandemik itu kerana Malaysia memang memiliki kemudahan perubatan kelas dunia.
Malaysia mengambil tindakan tegas tetapi ada sifat empati kepada rakyatnya, kata beliau.
“Kerajaan meletakkan kesihatan dan kehidupan yang baik lebih utama daripada mementingkan kedudukan ekonomi jangka pendek.
BACA JUGA – Kerajaan Pertimbang Cadangan Diskaun Saman Jalan Raya
“Malaysia kini ada kadar jangkitan yang rendah dan dilihat akan kembali pulih dan menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih awal dari negara lain, ” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, apabila pembeli hartanah dari China dan negara Asia lain meninjau tempat untuk membuat pelaburan hartanah, mereka mendapati Amerika Syarikat dan United Kingdom masih berdepan kesukaran untuk menangani krisis pandemik itu.
Banyak pihak melihat Malaysia akan keluar dari tempoh perintah kawalan pergerakan ke atas rakyatnya dengan jumlah kecil kematian berbeza dari kira-kira 105 buah negara yang kadar kematiannya per sejuta orang lebih tinggi dari Malaysia.
Malaysia berada di kedudukan keempat dengan skor indeks 58 di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan India yang berada di tempat ketiga dengan skor 59.
Vietnam berada di tempat kedua dengan skor 77 dan China (85) menerajui senarai dengan kebanyakan rakyatnya memberikan skor yang tinggi dalam semua empat petunjuk utama: kepimpinan politik nasional, kepimpinan korporat, komuniti dan media.
New Zealand ialah satu-satunya negara barat yang mempunyai skor indeks lebih tinggi dari purata global iaitu 45 menunjukkan rakyat di negara-negara barat kebanyakannya tidak berpuas hati dengan apa tindakan yang diambil oleh negara mereka.
Ansari menyatakan kaji selidik berkenaan dijalankan bersama dengan agensi penyelidikan sosial utama Singapura Blackbox Research dan pakar panel dalam talian antarabangsa Toluna dari 3 hingga 19 April 2020, merangkumi lebih 12,000 responden berumur antara 18 hingga 80 di 23 buah negara.
Menurut beliau, di rantau Asia Tenggara, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara selamat dari jangkita teruk Covid-19 serta memiliki ekonomi yang pelbagai, peluang pendidikan baik, prasarana perubatan yang cemerlang dan tindak balas sangat memberangsangkan terhadap pandemik kerana kerajaan yang amat bertanggungjawab.
“Pembeli dari Tanah Besar China dan Hong Kong adalah kumpulan pembeli hartanah asing terbesar di Malaysia.
“Kita menjangkakan ada peningkatan jumlah pembeli dari Singapura, Indonesia dan Jepun pada tahun ini,” katanya.