KUALA LUMPUR: Nampaknya pemimpin politik pembangkang pula yang ‘kalut’ tentang calon Perdana Menteri sehingga mengumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata Ahmad Zahid sendiri tidak pernah membuat pengumuman beliau akan menjadi perdana menteri jika BN berjaya membentuk kerajaan.
“Yang jelas Datuk Seri Ahmad Zahid hanyalah presiden dan nakhoda parti. Yang kita tawarkan kepada rakyat adalah Barisan Nasional. Yang menampilkan barisan kepimpinan yang mempunyai pengalaman dan berwajah baharu.
“Sebanyak 70 peratus adalah wajah segar, berintegriti dan mempunyai kekuatan dari segi pengalaman dalam mentadbir. Diterajui pula oleh calon perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri.
“Tiba-tiba timbul pula isu Datuk Seri Ahmad Zahid. Ada ke kita dengar beliau umumkan sebagai bakal calon PM tak ada. Yang umumkan pembangkang,” katanya selepas melawat dan membantu mangsa banjir di Taman Akasia di Pengkalan Hulu, di sini, hari ini.
Calon BN bagi Parlimen Gerik itu berkata, Ahmad Zahid hanyalah sisa-sisa isu yang akan dimainkan oleh pembangkang untuk menang pilihan raya Sabtu ini.
Jelas Asyraf Wajdi, parti lawan tidak lagi mempunyai isu untuk disaljikan kepada rakyat kerana helah dan penipuan mereka telah terbongkar pada pilihan raya lalu.
“Ini semua mainan persepsi seperti yang saya katakan tadi apa lagi modal tersisa buat mereka?
“Kali ini tidak ada isu 1MDB, GST, hutang RM1 trilion. Tidak ada isu negara bankrap. Tidak ada janji-janji bulan dan bintang kerana mereka takut berjanji selepas rakyat tahu mereka berdalih dan menipu.
“Sebab itu saya percaya pengundi boleh memanfaatkan kuasa yang ada untuk memilih parti yang ada rekod yang baik. Tiada janji lihat bukti,” kata Asyraf Wajid.
Menurut beliau, bagi BN isu calon perdana menteri telah diselesaikan kerana Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memuktamadkan bahawa Ismail Sabri adalan pilihan parti itu.
Malah Ahmad Zahid sendiri telah mengumumkan bahawa Ismail Sabri merupakan perdana menteri jika BN menang pilihan raya Sabtu ini.
Sebelum ini pemimpin dan calon pembangkang dalam kempen dan ceramah mendakwa Ahmad Zahid akan menjadi perdana menteri sekiranya mereka mengundi parti BN.