Budak Sembilan Tahun Kena Cabul Oleh Rakan Abang

MELAKA: Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh membenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini terhadap seorang pemuda selepas disyaki mencabul kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang juga adik rakannya, Sabtu lalu.

Perintah reman terhadap pembantu kedai makan berusia 21 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli bermula hari ini sehingga 8 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Menurut sumber, kejadian terbongkar kira-kira pukul 6.30 pagi semalam selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada pengadu yang juga ibunya, berusia 40 tahun ketika berada di rumah mereka di sebuah pangsapuri di Ayer Keroh.

“Mangsa mendakwa lelaki itu telah memegang kemaluannya selain menyuruhnya memegang kemaluan suspek ketika berada di ruang tamu rumahnya itu.

“Pengadu kemudian telah bertanyakan perkara itu kepada suspek yang juga kawan anak lelakinya dan suspek mengaku melakukan perbuatan itu sebelum ibu mangsa membuat laporan polis,” katanya hari ini.

Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada malam 31 Mei lalu ketika anak lelaki pengadu berusia 16 tahun membawa kawan lelakinya iaitu suspek ke rumah pengadu untuk melepak kira-kira jam 8 malam.

“Pada jam 9.30 malam, pengadu meninggalkan mangsa bersama abangnya dan suspek kerana mahu ke pasar malam di Bandar Melaka sebelum abangnya juga keluar selepas itu meninggalkan suspek dengan adik perempuannya itu.

“Kejadian amang seksual dipercayai berlaku selepas itu dan ibu mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh kira-kira jam 3 petang semalam,” tambahnya.

Mangsa masih menjalani rawatan di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK 2017.

BBerkaitan

Latest articles