“Boleh Pinjam Menteri Kesihatan Anda?” – Warga UK Kagum Dengan Usaha Malaysia Lawan Covid-19

Nampaknya Malaysia terus menjadi sebutan masyarakat serata dunia dalam kejayaannya membendung penularan Covid-19 dan memastikan kes kematian akibat wabak ini masih di tahap yang rendah.

Kali ini, dua warga United Kingdom yang terperangkap di Malaysia kerana larangan untuk keluar negara mengakui kerajaan telah melakukan perkara yang terbaik dalam memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Menerusi video bertajuk ‘Lockdown: Malaysia the safest country in the world?’, pasangan yang dikenali di Youtube sebagai VeggiesOnTour ini membuat perbandingan kes Covid-19 antara Malaysia dan dua negara yang terkesan teruk dengan wabak ini, iaitu United Kingdom dan Itali.

Mereka berkata langkah kawalan pergerakan amat berkesan dalam menangani penularan virus itu, sesuatu perkara yang perlu diambil kira oleh negara-negara luar yang berdepan dengan kes kematian yang semakin bertambah setiap hari.

Begitu juga dengan tindakan menutup pintu sempadan negara dan larangan pergerakan rentas negeri serta penutupan operasi perniagaan yang bukan asas menyumbang kepada kejayaan Malaysia.

Video yang berdurasi 9:56 minit itu memaparkan pasangan itu berjalan di sekitar Kuala Lumpur yang sunyi dari kesibukan harian seperti sebelum ini.

Mereka turut meluahkan rasa kesal dengan pengurusan Covid-19 di UK yang mana kerajaannya enggan mengambil tindakan tegas, dengan memberi contoh rkayat di negara itu masih keluar menjalani kehidupan seperti biasa dengan bekerja dan bersenam tanpa risau akan serangan virus berbahaya itu.

VeggiesOnTour yang kagum dengan tindakan proaktif Malaysia turut berseloroh untuk meminjam Menteri Kesihatan dan pasukan barisan hadapan untuk membantu mencegah peningkatan kes dan kematian Covid-19 di negara mereka dan Itali.

“Hai Malaysia, boleh tak kami pinjam Menteri Kesihatan dan pasukannya kerana telah melakukan yang terbaik demi negara ini. Malah kami juga perlukan sikap yang ditonjolkan oleh seluruh rakyat Malaysia untuk membantu negara kami,” ujarnya.

Meskipun terperangkap di Malaysia kerana Coronavirus, kedua-duanya percaya negara ini muncul sebagai sebuah negara yang paling selamat di Malaysia dan harus dipandang tinggi oleh dunia.

Sehingga kini, video yang di muatnaik semalam telah mendapat hampir 16,000 tontonan.

Latest articles

Related articles

spot_img