BN Menang Lebih, Calon MB NS Akan Dibincang Kelak

KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menimbulkan spekulasi bahawa Menteri Besar akan datang dari parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, bagaimanapun memberitahu, pihaknya menyerahkan sepenuhnya budi bicara kepimpinan tertinggi parti dan gabungan Kerajaan Perpaduan untuk membuat keputusan.

Semalam turut menyaksikan Jalaluddin menang di DUN Pertang.

“Banyak kemungkinan boleh berlaku (BN isi jawatan Menteri Besar) tetapi itu terserah kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dan ketua parti untuk buat keputusan.

“Saya akan jumpa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun malam ini (dan) beliau akan buat beberapa pengumuman tapi di peringkat kepimpinan negeri, kita belum ada bincang apa-apa (jawatan MB) lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan kemenangan 14 calon BN di Wisma UMNO Negeri Sembilan, malam tadi.

Ditanya adakah MB akan dilantik dalam kalangan ADUN BN, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, ketentuan itu di luar bidang kuasanya.

“Itu bukan urusan dan kuasa saya, soal MB itu diserah kepada pimpinan kita dan saya belum jumpa lagi Datuk Seri Aminuddin,” katanya lagi.

Keputusan PRN diumumkan malam tadi menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi manakala (BN) menang 14 kerusi membolehkan gabungan PH-BN menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN.

BN bagaimanapun tewas di tiga kerusi iaitu DUN Bagan Pinang, Gemas dan Serting yang dikatakan berpunca daripada tidak mendapat undi tentera.

BBerkaitan

Latest articles