BERSATU Kangar Lumpuh ?

KUALA LUMPUR — Bersatu Bahagian Kangar didakwa lumpuh selepas hampir semua ahli jawatankuasa (AJK) dan ketua di lapan cawangannya meletak jawatan serta keluar parti.

Utusan Malaysia melaporkan hampir 1,000 ahli di bahagian itu dikatakan turut mengikut langkah sama, selepas hilang kepercayaan kepada Ketua Bahagian merangkap Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Selain Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kangar, Shaharani Husin, turut meletak jawatan ialah ketua Pemuda Bersatu dan pemangku ketua Wanita selepas mencapai kata sepakat kecewa dengan kepimpinan Abu Bakar.

Naib Ketua Bersatu Bahagian Arau, Sharif Abdul Razak turut mengumumkan peletakan jawatannya.

Difahamkan, kepimpinan bahagian itu kini tinggal Abu Bakar dan beberapa AJK.

Shaharani berkata, kepimpinan bahagian dan negeri dilihat lari daripada perjuangan asal parti, selain bersifat berat sebelah dengan meminggirkan kebanyakan AJK yang menang dalam pemilihan parti sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya tiada masalah dengan kepimpinan Bersatu pusat, sebaliknya keputusan itu akibat kecewa dengan Abu Bakar.

Buat masa ini, katanya, mereka belum memutuskan untuk menyertai parti lain.

“Dengan tindakan keluar parti dan meletak jawatan secara beramai-ramai itu secara tidak langsung menyebabkan Bersatu Bahagian Kangar lumpuh, selain turut memberi kesan kepada kepimpinan negeri,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Shaharani berkata, keputusan mereka keluar parti itu secara tidak langsung turut memberi kesan kepada Bersatu Perlis menjelang pilihan raya umum ke-15.

“Lantikan yang dilakukan Abu Bakar dalam senarai AJK bahagian dilihat seperti meminggirkan kami yang menang dalam pemilihan sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, krisis kepimpinan Bersatu Bahagian Kangar dilaporkan semakin parah apabila lebih 800 penyokong di Kuala Perlis meninggalkan parti itu.

Ketua Bahagian BERSATU Mersing Umum Keluar Parti

Berita Berkaitan

Komen

Terkini