Beranikah Shafie Letak Jawatan?

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyelar tindakan membawa usul undi percaya dan tidak percaya secara tiba-tiba kerana ia hanya membawa keadaan politik negara yang kucar-kacir.

Tegasnya, dalam keadaan Malaysia yang mengamalkan demokrasi matang, individu terbabit perlu meletakkan jawatannya jika usul yang dibawa itu gagal.

Abdul Rahman, yang juga Ketua Umno Tuaran berkata demikian merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membawa usul undi percaya bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

“Individu itu secara budiman (gentleman) akan mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan itu. Kegagalan termasuk bila usul itu ditolak oleh Speaker kerana sudah tentu individu berkenaan tahu Speaker akan menolak usul yang tidak mengikuti peraturan mesyuarat Parlimen atau Perlembagaan Malaysia.

“Secara adilnya, jika usul itu berjaya, Perdana Menteri mesti letak jawatan dan kalau tidak berjaya, pembawa usul mesti letak jawatan.

“Persoalannya apakah Ahli Parlimen Semporna yang juga Ketua Menteri Sabah mempunyai etika politik untuk meletakkan jawatannya? Kita tunggu dan lihat,” katanya dalam satu muatnaik di Facebook.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff bagaimanapun menolak usul Mohd Shafie dengan menyatakan bahawa usul berkenaan tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam urusan jawatan Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles