SUNGAI BULOH: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan beliau belum menerima notis saman daripada sekumpulan individu yang mendakwa menjadi mangsa kepada kesan sampingan akibat vaksin Covid-19.
“Setakat ni saya belum terima notis saman dan (jika sudah terima) saya akan minta peguam yang dilantik untuk menjawab saman berkenaan,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita pada sidang media berkaitan status terkini COVID-19, di Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Semalam, sekumpulan rakyat Malaysia memfailkan saman terhadap kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya menteri yang bertanggungjawab ke atas program vaksinasi negara, Khairy Jamaluddin selepas mendakwa menjadi mangsa kepada kesan sampingan akibat vaksin Covid-19.
Seramai 44 orang mangsa itu diwakili firma guaman Shahrin Satheer Kamal & Co turut memfailkan saman terhadap Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan tiga pengeluar vaksin Covid-19 iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Pharmaniaga.