Belum Putuskan Sertai Mana-mana Parti, Kata Puad

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik selepas meninggalkan UMNO pada penghujung bulan lalu.

Menurut bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, beliau belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai hala tuju politiknya dan menyerahkan soal berkenaan kepada ketentuan Allah.

Katanya, tumpuan ketika ini bukan kepada soal memilih parti, sebaliknya meneruskan perjuangan politik yang disifatkannya lebih bebas, seimbang dan tidak terikat kepada kepentingan mana-mana parti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Dialog Terbuka Belia Johor anjuran Pakatan Harapan (PH) di Felda Ulu Tebrau, malam tadi, yang menjadi penampilan sulungnya dalam program PH selepas mengumumkan keluar daripada UMNO pada 25 Jun lalu.

Kehadiran Mohd Puad turut mencuri perhatian apabila beliau dilihat bersalaman dan berpelukan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kedua-duanya duduk bersebelahan di pentas utama.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan kehadirannya adalah bagi menyatakan sokongan kepada calon PH serta menghargai hubungan persahabatan lamanya dengan Anwar.

Beliau turut menegaskan tiada salahnya menghadiri program berkenaan memandangkan PH dan Barisan Nasional (BN) merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, selain beliau kini bukan lagi ahli UMNO.

“Bukan senang nak pujuk saya, saya datang kerana beliau (Anwar) sahabat lama. Ringkas sahaja, saya naik ke pentas PH ni sebab PH adalah Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) pun Kerajaan Perpaduan.

“Tak ada salahnya, apatah lagi saya bukan lagi ahli UMNO,” katanya.

Mohd Puad mengakui tindakannya menyokong calon PH, termasuk calon DUN Rengit, mengundang pelbagai kecaman dan tuduhan mengkhianati perjuangan UMNO.

Bagaimanapun, beliau berkata sudah bersedia menghadapi segala kritikan kerana ia lumrah dalam dunia politik.

Pada masa sama, beliau mendedahkan telefon bimbitnya sebelum ini dirampas polis bagi membantu siasatan susulan 153 laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataan yang didakwa mengaitkan Institusi Diraja dengan pembubaran DUN Johor serta proses pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, beliau telah dipanggil memberi keterangan beberapa hari selepas laporan polis dibuat dan telefon bimbitnya telah dipulangkan semula baru-baru ini. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana menyerahkan perkara itu kepada proses perundangan.

Sebelum ini, Mohd Puad memaklumkan beliau meninggalkan UMNO kerana mendakwa parti itu tidak lagi bebas membuat keputusan.

Bagaimanapun, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa tindakan tersebut berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas anak lelaki Mohd Puad tidak dipilih sebagai calon DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.

BBerkaitan

Latest articles