MELAKA: Seorang lelaki disyaki pengedar dadah maut dalam kemalangan ngeri selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta sebelum bergesel dengan lori di Lebuh AMJ berhampiran Paya Rumput, pagi tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil siasatan menemukan 462 peket kecil dadah dipercayai heroin dan methamphetamine bertaburan di lokasi kemalangan berhampiran motosikal mangsa.
“Antara yang dirampas ialah 450 peket heroin seberat 688.81 gram dan 12 peket methamphetamine seberat 13.41 gram. Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan untuk mengedar dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mangsa, lelaki tempatan berusia 22 tahun, tidak mempunyai rekod jenayah dan dipercayai baru aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 7.54 pagi apabila motosikal mangsa melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 48 tahun.
Impak rempuhan menyebabkan motosikal itu hilang kawalan sebelum bergesel dengan lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.