Anwar Tepis Dakwaan KJ Kononnya Hubungan Dengan Zahid Makin Retak

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menafikan dakwaan bahawa hubungan beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini berada di ambang keretakan susulan perkembangan politik semasa.

Anwar sebaliknya menyifatkan dakwaan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, bahawa tahap kepercayaan antara kedua-dua pemimpin itu kini berada pada paras paling rendah sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai pandangan peribadi.

“Pandangan peribadilah, memang dia (Khairy) selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai. Dia berbeza, dia jalur gaduh, saya jalur damai.

“Sebab tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya mengenai peranan Datuk Seri Zahid, UMNO dan seluruh (komponen parti) BN dalam memeterai (pembentukan) Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Penegasan Anwar itu dibuat selepas Khairy dalam podcast Keluar Sekejap mendakwa hubungan antara Anwar dan Ahmad Zahid kini melalui fasa paling sukar sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, keadaan tersebut tidak boleh dipisahkan daripada hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang semakin tegang, khususnya selepas BN memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Khairy berpandangan langkah berkenaan telah mencetuskan keretakan besar antara BN yang dipimpin Ahmad Zahid dan PH pimpinan Anwar, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen BN untuk terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“PH akan kata ia pengkhianatan, manakala BN pula akan kata, kami hanya bersetuju untuk bekerjasama dengan kamu di peringkat persekutuan. Ini tidak bermakna kami terikat dengan kamu selama-lamanya.

“Jadi, macam mana pun anda melihatnya, memang berlaku keretakan besar. Saya rasa bukan rahsia untuk kita kata tahap kepercayaan PMX (Anwar) dan Zahid berada pada tahap paling rendah sejak MADANI ditubuhkan,” katanya.

Khairy turut mendakwa kedua-dua pemimpin berkenaan mampu menampilkan gambaran hubungan yang baik di hadapan umum, namun terdapat pelbagai masalah yang berlaku di sebalik tabir.

Perkembangan itu dilihat semakin mendapat perhatian selepas BN dan PN bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos lalu dalam usaha menamatkan pentadbiran PH di negeri itu.

Kerjasama berkenaan menyaksikan BN memenangi 25 kerusi, manakala PH memperoleh 11 kerusi.

Bagaimanapun, Anwar mengakui wujud perbezaan dinamika politik di peringkat negeri, namun menegaskan perkara itu tidak semestinya mencerminkan hubungan beliau dengan Ahmad Zahid di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Ada gaduh? Peringkat negeri ada sikit, itu biasa pak,” katanya ringkas.

Dalam perkembangan berkaitan politik Negeri Sembilan, Anwar turut menafikan menerima surat daripada enam cabang PKR di negeri itu yang didakwa mendesak Pengerusi PH merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, meletakkan jawatan.

“Tak ada (terima surat).. surat biasa. Belum (terima), tapi saya dimaklumkan tak ada (desakan supaya Aminuddin berundur). Tak ada masalah, kita boleh bincang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles