Anwar Setuju GST Sistem Cukai Terbaik

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014 adalah yang terbaik.

Untuk rekod, GST ditukar kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah pada 2018.

Presiden PKR itu bagaimanapun menambah jika GST mahu dikembalikan semula, maka satu kajian perlu dibuat.

“Saya akui GST satu sistem percukaian dianggap paling telus. Kalau pun nak (laksanakan) GST, harus kaji semula,” katanya dalam bual bicara Minda Profesor Negara edisi bicara negarawan, semalam.

Anwar berkata, jika GST mahu dilaksanakan semula ia mesti ada pengecualian dan syarat lebih ketat.

“Tidak boleh GST seperti diperkenalkan. Kalau pendapatan bertambah tetapi ia mendera rakyat miskin,” ujarnya.

Pada 29 Disember lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Abd Rahim Bakri berkata, keputusan kerajaan PH memansuhkan GST sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan negara.

Menurut Rahim, hasil pendapatan negara berkurangan apabila cukai itu dihapuskan dan digantikan dengan SST.

Dalam pada itu, Anwar berkata, GST boleh dilaksanakan sebaik ekonomi dipacu dengan lebih yakin dan pendapatan rakyat meningkat, namun ia bukan perkara yang perlu disegerakan.

BBerkaitan

Latest articles