Anwar: PH, BN, GRS Masih Runding Kerjasama Hadapi PRN Sabah

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan rundingan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih berlangsung bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka hujung tahun ini.

Anwar, yang juga Pengerusi PH, berkata kerjasama antara ketiga-tiga gabungan itu penting demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan berterusan di negeri berkenaan.

“Hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah mesti bersifat erat, saling mempercayai dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah malam tadi, seperti dilaporkan Bernama.

Terdahulu, PH dan BN secara rasmi menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam PRN Sabah ke-17.

Namun, GRS sebelum ini memberi bayangan kemungkinan bergerak secara solo jika gabungan PH-BN dimuktamadkan, sambil menekankan pentingnya parti tempatan menjadi tunjang kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada baru-baru ini menyatakan komitmen GRS untuk mempertahankan kerjasama sedia ada bersama PH, walaupun berdepan pertimbangan politik lain.

Kenyataan itu dilihat sebagai memberi laluan kepada pembentukan gabungan lebih besar antara PH, BN dan GRS untuk menghadapi PRN dengan satu pasukan.

Langkah itu juga selari dengan gesaan Anwar agar kesemua pihak mengetepikan perbezaan politik demi kestabilan jangka panjang dan pembangunan negeri Sabah.

BBerkaitan

Latest articles