KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa golongan pekerja tanpa mengira pangkat, sektor dan latar belakang merupakan nadi penggerak yang menjadikan sesebuah negara maju, hebat dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Dalam amanat khas sempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini, Anwar menyifatkan pekerja sebagai tulang belakang negara yang memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, pembuatan, keselamatan dan perkhidmatan awam.
“Negara ini masih berdepan pelbagai cabaran. Hari-hari kita dihadapkan dengan isu besar seperti krisis di Palestin dan ketidaktentuan global termasuk tindakan unilateral kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Namun kita tetap mampu mara jika semua bekerja dengan tekun, ikhlas dan penuh iltizam,” katanya di hadapan lebih 10,000 pekerja yang hadir.
Beliau turut mengangkat kedudukan pekerja sebagai penentu hala tuju negara termasuk dalam aspek politik dan pentadbiran.
“Golongan pekerja ini adalah majoriti. Mereka yang tentukan siapa Perdana Menteri, bentuk kerajaan dan dasar negara. Jika mereka bersatu, merekalah penentu sebenar,” tegas Anwar.
Dengan tema sambutan tahun ini, ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, Anwar menyuarakan komitmen kerajaan untuk terus membela dan mengangkat martabat semua pekerja tanpa mengira kaum, agama atau status sosial.
“Saya dan kerajaan komited membela semua pekerja, walaupun majoritinya orang Melayu. Namun nasib anak-anak Cina, India, Dayak dan Kadazan-Dusun juga tidak boleh dipinggirkan. Jangan hanya santuni golongan atasan, tetapi wajib menjaga kebajikan pekerja di semua peringkat,” ujarnya lagi.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut memberi peringatan agar unsur perpecahan berasaskan kaum dan fahaman politik tidak dibiarkan berakar dalam masyarakat kerana ia hanya akan menjejaskan produktiviti dan keharmonian negara.
“Kefahaman, perpaduan dan semangat kebersamaan antara kaum adalah kunci untuk membawa negara ke arah kemajuan yang lebih besar,” katanya mengakhiri amanatnya.