Anwar: Kes Buli, Penghinaan Kaum Petanda Krisis Akhlak, Jangan Lagi Sorok Salah Laku Di Sekolah

NILAI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu disiplin di sekolah, termasuk kes buli dan penghinaan kaum, perlu ditangani secara tegas dan segera kerana ia mencerminkan kelemahan yang masih wujud dalam sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, walaupun pendidikan agama kini semakin diperkasakan, masalah berkaitan akhlak masih terus berlaku dan tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, kejadian buli yang dilaporkan hampir setiap hari menunjukkan gejala itu telah menjadi “penyakit akhlak” yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.

“Bagi saya, inilah perkara yang perlu diberi keutamaan dalam pendidikan. Kadangkala kita terlupa bahawa teras pendidikan ialah membina nilai kemanusiaan yang berasaskan adab dan akhlak.

“Seseorang mungkin cemerlang sehingga memiliki kelulusan tinggi, namun jika gagal menghormati orang lain dan tidak memahami nilai kemanusiaan, kita perlu bertanya apakah sebenarnya yang dipelajarinya,” katanya ketika sesi Temu Anwar bersama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai, pada Jumaat.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dalam pada itu, Anwar turut menegur sikap segelintir pihak pengurusan sekolah yang didakwa lebih mengutamakan imej institusi berbanding kebajikan murid yang menjadi mangsa buli.

Beliau menegaskan seseorang guru besar atau pengetua tidak seharusnya dianggap gagal hanya kerana mendedahkan berlakunya kes buli di sekolah masing-masing.

Sebaliknya, katanya, tindakan menyembunyikan insiden atau gagal mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi mangsa merupakan kesalahan yang lebih besar.

“Jika sebuah sekolah mempunyai seribu pelajar dan hanya dua kes buli berlaku, itu tidak bermakna pengetuanya gagal. Yang salah ialah apabila kes tersebut disorok atau tiada tindakan diambil untuk menyelesaikannya,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menyifatkan prestasi bidang perguruan negara berada pada tahap yang membanggakan, namun menekankan usaha memperkukuh kualiti pendidikan perlu diteruskan.

Beliau berkata, warga pendidik memikul amanah besar untuk memastikan institusi pendidikan bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah menjadi medan melahirkan generasi yang beriman, berakhlak mulia serta mempunyai sifat ihsan dan saling menghormati sesama insan.

BBerkaitan

Latest articles