PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dirinya tidak berminat untuk mengorek salah laku dan kecuaian yang dilakukan semasa pentadiran awam terdahulu.
Keutamaan buat masa ini, menurut Anwar adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam yang kian merosot ke tahap lebih tinggi, merancakkan semula ekonomi dan membangunkan kembali kehidupan rakyat.
Lantaran itu, beliau meminta semua penjawat awam bekerja dan berdisiplin serta bersama-samanya membawa perubahan tersebut.
“Tidak mungkin saya berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam tidak bersama saya.
”Jika saudara lihat ada kelonggaran, kecuaian sebelumnya itu sejarah lampau, bukan maksud saya untuk mengorek kisah lama, tidak saya tidak berminat.
“Hidup saya tahu apa erti derita dan sengsara tetapi yang penting adalah ke depan,” katanya dalam ucapan Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar turut menegaskan, tidak akan berkompomi dengan soal kebocoran, ketirisan perbelanjaan dan rasuah.
Jelasnya, di bawah tatakelola pentadbiran kerajaan baharu, kelulusan perolehan tanpa tender tidak boleh berlaku lagi.
“Soal perolehan, soal kelulusan tanpa tender ini tidak boleh lagi terus dengan mengizinkan kebocoran, ketirisan dan rasuah. Ini tidak boleh lagi dan harus berlaku di semua peringkat.
“Di peringkat awal ini saya ingin menyeru untuk semua dalam pasukan ini dan mari kita bertekad untuk menyelamatkan negara kita dan angkat semula hidup rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut tidak mengambil peduli tentang fitnah sesetengah pihak yang menggelarkan dirinya sebagai ejen Israel.
Sebaliknya, beliau tekad untuk menumpukan masa dan tenaganya dalam membangunkan ekonomi dan kepentingan rakyat.
“Saya tidak peduli segala fitnah yang kaitkan saya dengan ejen Israel, saya nak tumpu soal kerja kerana soal ejen ini saya ejen banyak negara, Amerika, Israel, India, Turkiye dan saya mengatasi (ejen) 007 dalam banyak hal.
“Saya harap kita tumpu soal kerja,” katanya.