Anwar Doakan Kesihatan Sultan Brunei

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa dan harapan agar Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan kesihatan yang baik menjelang rawatan kesihatan yang akan dijalani dalam masa terdekat.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar mendoakan agar Sultan Hassanal Bolkiah sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT serta dikurniakan kesejahteraan yang berpanjangan.

“Saya mendoakan agar KDYMM Baginda Tuanku dikurniakan keafiatan berterusan serta kekal memerintah Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan,” katanya.

Menurut laporan media rasmi kerajaan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang lebih awal di Jerudong Park Medical Centre pada 18 Januari ini.

Pengumuman khas berhubung perkara tersebut dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Seri Halbi Mohd Yussof menerusi siaran langsung di saluran media rasmi kerajaan Brunei, malam tadi.

Beliau berkata, perkembangan berkaitan keadaan kesihatan Sultan Hassanal Bolkiah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Perdana Menteri selepas rawatan tersebut dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles