Anwar Beri Amaran Kepada Pihak Sekolah, Jangan Sorok Kes Buli

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada semua sekolah, khususnya guru besar, agar tidak sekali-kali menyorok atau melindungi kes buli yang berlaku di institusi pendidikan.

Beliau menegaskan, tindakan menutup kes buli walaupun dianggap kecil boleh disamakan dengan perbuatan melindungi jenayah.

“Ada sekolah lebih pentingkan imej berbanding keselamatan murid. Jika kes buli disembunyikan, ia adalah satu kesalahan seolah-olah melindungi penjenayah,” katanya.

Anwar berkata, salah satu punca kes buli terus berlaku adalah sikap segelintir pihak yang lebih menjaga reputasi sekolah daripada kebajikan pelajar.

Menurut Perdana Menteri, mentaliti yang menganggap “buli kecil tidak perlu diperbesarkan” adalah berbahaya dan mesti dihentikan.

“Buli kecil kalau dibiarkan akan jadi besar. Jangan kerana mahu jaga nama, kita abaikan tanggungjawab,” tegasnya.

Beliau menegaskan, ibu bapa dan guru besar perlu memberi kerjasama penuh dalam melaporkan sebarang kejadian tanpa kompromi.

Anwar turut menyeru pihak polis bertindak segera terhadap kes-kes buli yang tular di media sosial.

“Polis boleh bertindak segera. Media sosial pun boleh kesan segera. Ini peringatan kepada sekolah jangan lindungi. Buli kecil pun jenayah,” katanya sekali lagi mengulangi amaran.

Dalam masa sama, Perdana Menteri mengakui cabaran guru dalam mendidik pelajar pada era kini yang memerlukan keseimbangan antara ketegasan dan hak asasi.

“Guru perlu ruang untuk mendisiplinkan. Tapi jangan sampai pukul hingga melukakan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan ada pihak terlalu liberal hingga menolak sebarang bentuk disiplin, sedangkan pelaksanaan yang berhemah masih diperlukan.

BBerkaitan

Latest articles