Annuar: Pertemuan BN-PH Hari Ini Tak Menyebelahi Harapan Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Secara sinis, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pertemuan antara pimpinan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi sebagai gagal.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mendakwa, pertemuan berkenaan tidak menghasilkan keputusan sepertimana diharapkan oleh beberapa kerat pemimpin BN yang pro DAP dan PH.

“Difahamkan pertemuan PH dan BN sebentar tadi di PWTC gagal menghasilkan keputusan seperti yg dimahukan beberapa kerat pemimpin pro DAP dan PH.

“Oleh itu, time line jam 2 petang ini yang dimaklumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun malam tadi tidak mencukupi untuk team Presiden UMNO kerana masih gagal capai kata sepakat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Dalam hantaran yang sama juga, beliau menempelak kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang beberapa hari sebelum mengundi mengisytiharkan BN sudah menang 114 kerusi.

Bagaimanapun, katanya semalam, iaitu sehari selepas keputusan rasmi diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik itu melancarkan perang psikologi untuk mengabui ahli dengan mereka reka 10 justifikasi kenapa BN wajib bersama PH.

“Sedangkan, kita diberitahu belum ada sebarang keputusan parti, di mana hasil rundingan perlu dibawa dan diluluskan Dewan Tertinggi BN untuk dipersetujui atau ditolak.

“Tidak mustahil PN yang terlebih dahulu berjaya “cross the line”,” katanya.

Annuar berkata, ramai pemimpin akar umbi bersetuju UMNO dan BN kekal tidak menyokong mana-mana parti, sebaliknya berperanan sebagai pembangkang berwibawa.

“Kita kini berpeluang perhatikan belang masing-masing dan menunjukkan warna sebenar untuk kita nilaikan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles