Anggota JPJ cedera dirempuh motosikal langgar sekatan

Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera dirempuh sebuah motosikal yang melanggar sekatan jalan raya di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) hala Port Dickson, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada jam 11 pagi ketika sepasukan anggota JPJ Negeri Sembilan menjalankan sekatan jalan raya dalam Operasi Penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di lokasi terbabit.

JPJ dalam kenyataan, hari ini berkata anggota JPJ terbabit yang cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

“Hasil pemeriksaan x-ray dijalankan, pihak hospital mengesahkan kecederaan yang dialaminya tidak serius dan dibenarkan pulang sebaik selesai menjalani rawatan,” katanya.

Katanya, hasil siasatan Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Sembilan mendapati penunggang motosikal terbabit mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kesalahan yang dilakukan adalah lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh pada 18 Julai 2012 dan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23 (1) APJ 1987 serta tiada perlindungan insurans (Seksyen 90 (1) APJ 1987).

“Selain itu, lelaki ini turut disenarai hitam atas kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) mengikut Seksyen 6 (1) APJ 1987 serta tindakan sita mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987,” katanya.

Berikutan kejadian ini, katanya penunggang motosikal berusia 25 tahun itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Dearah Port Dickson untuk tindakan lanjut.

Pihak JPJ turut membuat laporan polis dan siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Menerusi kenyataan sama, JPJ memaklumkan pihaknya melancarkan Operasi Khas Motosikal Tahun 2023 selama sebulan mulai 1 hingga 30 September ini di seluruh negara.

“Operasi itu bertujuan mengukuhkan pembudayaan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melanggar peraturan keselamatan jalan raya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.

“Operasi tumpu kepada kesalahan utama yang menjadi punca kepada kecederaan parah dan kemalangan maut yang membabitkan pengendali motosikal,” katanya.

Terdahulu, tular dua rakaman video di media sosial berkaitan insiden itu dengan salah satu rakaman video menunjukkan penunggang motosikal dilihat tidak memperlahankan motosikalnya ketika hampir dengan kawasan sekatan.

Motosikal itu terus merempuh seorang anggota JPJ yang bertugas di sekatan jalan raya menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan.

BBerkaitan

Latest articles