Aktiviti Ceramah Dibenarkan Ketika Kempen PRK Dewan Undangan Negeri Chini

Tempoh masa ketika proses kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dilangsungkan dengan suasana baharu apabila pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan kempen seperti biasa tetapi dengan amalan baharu.

Esok adalah hari penamaan calon bagi PRK berkenaan.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun sepanjang masa kempen, aktiviti yang dibenarkan ialah kempen cara berceramah, tinjauan mesra atau dikenali sebagai ”walkabout” serta kempen dari rumah ke rumah.

Seperti biasa di mana-mana ketika penularan wabak Covid-19 ini, penganjur program kempen perlu patuh pada prosedur operasi standard (SOP) yang biasa sekarang iaitu penjarakan sosial, memakai pelitup mulut dan hidung, menggunakan cecair pembasmi kuman, memeriksa suhu badan serta pengambilan rekod kehadiran.

MESTI BACA – PKR Hilang 8,000 Ahli Di Sabah

“Bagi aktiviti ceramah politik, SPR membenarkan tidak lebih daripada 250 orang pada satu-satu masa dan tempat, tertakluk pada saiz kawasan serta terhad di premis tertutup sahaja.

“Aktiviti kempen dari rumah ke rumah pengundi dan ‘walkabout’ pula, hanya 3 orang sahaja dibenarkan sama ada calon atau penyokong parti pada satu-satu masa dan tempat,” katanya.

Beliau hari ini melakukan tinjauan akhir di pusat penamaan calon PRK itu di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, di Pekan, hari ini.

Pindaan SOP bagi aktiviti kempen PRK Chini dibuat selaras dengan keputusan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang diumum pada 16 Jun yang lepas.

Azhar berkata, aktiviti bersentuhan atau bersalaman dengan bakal pengundi sama sekali tidak dibenarkan dan calon serta wakil calon yang terlibat dengan kempen ziarah dari rumah ke rumah dan program “walkabout” perlu mematuhi peraturan sedia ada dengan mengamalkan jarak 1 meter serta merekodkan senarai rumah yang dikunjungi.

Beliau berkata, calon digalakkan memaksimumkan kaedah kempen secara dalam talian atau melalui saluran media sosial.

Dalam pada itu Azhar turut mengingatkan calon yang akan bertanding serta parti politik untuk mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan pada hari penamaan calon esok.

Beliau berkata, kertas penamaan calon boleh dikemukakan mulai 9 pagi sehingga 10 pagi kepada pegawai pengurus pilihan raya di pusat penamaan calon di Dewan Utama IKBN Pekan.

Katanya hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana 2 orang daripada mereka atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

BACA JUGA – BN Namakan Shahrim MD Zain Sebagai Calon Di PRK N23 Chini

Ditanya mengenai pembelian set borang pencalonan, Azhar berkata setakat ini sebanyak 10 set terjual dan ada daripada mereka telah membayar deposit pilihan raya berjumlah RM8,000 bagi setiap seorang.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada 4 DUN dalam kawasan Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

PRK DUN Chini dijadualkan pada 4 Julai berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung.

Pada PRU14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

BBerkaitan

Latest articles