KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencabar Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan untuk membawa usul supaya keseluruhan Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan, bukan hanya menyasarkan MCA.
Cabaran itu dibuat susulan kenyataan Syahredzan yang mencadangkan agar MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan kerana didakwa sering menyerang Kerajaan Madani dengan fakta yang tidak tepat.
“MCA adalah sebahagian daripada pasukan BN. Maka jika mahu ‘nyah’ seorang dari keluarga kami, saya cabar YB Bangi untuk buat usul supaya keluarkan BN semua sekali dari kerajaan ini!” tegas Muhamad Akmal dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menyindir Syahredzan yang didakwa bertindak angkuh apabila ditegur dan pantas menyalahkan pihak lain.
Terdahulu, Syahredzan, yang juga Ahli Parlimen Bangi, mendakwa MCA tidak menunjukkan komitmen sebagai parti kerajaan dengan terus mengkritik isu seperti penjualan saham KWSP, MyKiosk, dan pemansuhan subsidi tong gas LPG, meskipun dasar itu diluluskan ketika presidennya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, berada dalam Kabinet terdahulu.
“Kalau asyik menyerang Kerajaan Madani dengan ‘half-truths’, jelas MCA tidak ikhlas bersama kerajaan ini,” kata Syahredzan.