KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff, membayar RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, atas dua hantaran Facebook berunsur fitnah yang disiarkan pada tahun 2017.
Jumlah itu meliputi ganti rugi am dan teruk masing-masing RM200,000 bagi setiap hantaran.
Selain itu, Kamarul turut diarahkan membayar kos guaman sebanyak RM80,000.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman dalam penghakimannya berkata, kenyataan yang dibuat Kamarul menggambarkan seolah-olah Hannah merupakan “ancaman kepada Islam” dan menggunakan kedudukan politiknya untuk menyebarkan agama Kristian adalah satu tuduhan yang disifatkan berbahaya dalam konteks negara berbilang agama seperti Malaysia.
“Saya berpuas hati plaintif telah membuktikan, berdasarkan imbangan kebarangkalian, bahawa penerbitan pertama dan kedua adalah bersifat fitnah,” ujar Aliza sambil menegaskan kenyataan tersebut berupaya menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap Hannah.
Namun begitu, permintaan Hannah agar mahkamah mengarahkan permohonan maaf secara terbuka ditolak.
Hakim berpendapat, “sebarang permohonan maaf tidak akan ikhlas.”
Kamarul, yang tidak hadir semasa prosiding, difahamkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Saman itu difailkan Hannah pada tahun 2022, susulan dua hantaran Facebook oleh Kamarul, iaitu satu daripadanya artikel bertajuk “Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP di Malaysia”, manakala satu lagi merupakan salinan laporan polis terhadap Hannah yang dikongsi secara terbuka.
Dalam tuntutannya, Hannah mendakwa Kamarul secara terang-terangan menuduh beliau menyebarkan agama Kristian melalui politik dan mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian merupakan dakwaan yang disifatkannya sebagai berniat jahat dan tidak berasas.