KUALA LUMPUR: Liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Kelantan mencapai 99.88 peratus setakat 1 September 2026 menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, liputan rangkaian 5G di negeri itu turut menunjukkan perkembangan apabila mencapai 96.9 peratus menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) dan 95.3 peratus oleh U Mobile Sdn Bhd.
Beliau berkata, kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh infrastruktur komunikasi dan kesalinghubungan digital, termasuk melalui pelaksanaan JENDELA 2.
“Sebagai kesinambungan kepada inisiatif terdahulu, MCMC sedang melaksanakan JENDELA 2 melalui dua bentuk penyelesaian, iaitu perkhidmatan selular awam (4G atau gabungan 4G dan 5G, jika bersesuaian) dan perkhidmatan jalur lebar melalui satelit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mohd Azizi meminta penjelasan mengenai usaha kementerian dalam menambah baik capaian internet di kawasan berpenduduk dan sepanjang jajaran jalan di Kelantan, termasuk keberkesanan penggunaan teknologi Very Small Aperture Terminal – High Throughput Satellite (VSAT HTS) yang dikatakan mampu meningkatkan kelajuan sehingga 25Mbps.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pemilihan teknologi bagi kawasan yang masih belum mendapat liputan dibuat berdasarkan kesesuaian setempat dengan mengambil kira kepadatan penduduk, bentuk muka bumi dan ketersediaan infrastruktur sedia ada.
Bagi meningkatkan liputan komunikasi di sepanjang jalan raya, MCMC turut melaksanakan inisiatif ‘Di Mana Ada Jalan, Di Situ Ada Internet’ secara berperingkat.
“Penambahbaikan liputan di sepanjang lebuh raya telah bermula pada Ogos 2026, manakala pelaksanaan bagi jalan-jalan utama dijadualkan bermula pada awal tahun 2027 dan kini dalam peringkat perancangan dan penelitian,” katanya.
Mengenai penggunaan teknologi satelit di kawasan pedalaman, beliau berkata, MCMC akan terus menilai kesesuaian penggunaan VSAT HTS dan satelit orbit rendah bumi (LEO) berdasarkan keperluan setempat, kebolehlaksanaan teknikal serta ketersediaan peruntukan.
Dalam pada itu, kerajaan sedang membangunkan Dasar Infrastruktur Digital Negara (DIDN) berteraskan pendekatan keseluruhan negara dan prinsip neutral teknologi bagi memastikan pembangunan infrastruktur digital lebih menyeluruh, mampan serta berdaya tahan.










