Kerajaan Sasar Produktiviti PMKS Meningkat Dua Kali Ganda Menerusi AI

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan peningkatan produktiviti sehingga dua kali ganda dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sebanyak RM30 juta diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkasa 3,000 usahawan kecil dan sederhana serta 1,000 usahawan mikro dengan keupayaan AI termaju.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan manfaat ekonomi AI tidak hanya tertumpu kepada syarikat teknologi besar, sebaliknya turut dinikmati perusahaan tempatan dan rakyat.

“Kerajaan akan memastikan manfaat kecerdasan buatan melonjakkan produktiviti PMKS, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan pendapatan rakyat menerusi peralihan daripada pengguna kepada pencipta teknologi tempatan (Made by Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat pada Selasa bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai) yang meminta penjelasan mengenai jaminan dan tindakan kerajaan memastikan manfaat ekonomi AI dinikmati perusahaan tempatan serta indikator khusus untuk memantau keberkesanannya.

Gobind berkata, kerajaan turut menyasarkan latihan dan pensijilan kepada 5,000 profesional AI dengan sasaran purata gaji RM5,000 sebulan.

Selain itu, Program AI Talent Foundry dilaksanakan bagi mewujudkan antara 300,000 hingga 500,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi AI.

Dalam usaha memperluas akses kepada teknologi berkenaan, beliau berkata, kerajaan melaksanakan inisiatif AI Untuk Rakyat menerusi platform Rakyat Digital yang menyediakan akses percuma kepada aplikasi AI premium selama tiga bulan kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun selepas menamatkan enam modul asas.

“Antara penyedia aplikasi AI yang terlibat termasuk syarikat tempatan YTL AI Labs menerusi ILMUchat.

“Setakat 15 November 2026, sebanyak 17,511 penebusan telah direkodkan,” katanya.

Menurutnya, menerusi Belanjawan 2027, inisiatif berkenaan diperluas kepada 100,000 belia dengan peruntukan RM30 juta.

Katanya, hab Rakyat Builders turut menyediakan latihan secara langsung, bimbingan serta kredit perisian dan pengkomputeran awan bagi membantu rakyat membangunkan produk AI sendiri.

Program itu kini menghimpunkan 1,449 peserta dan 150 projek tempatan.

Mengulas mengenai indikator keberkesanan, Gobind berkata, kerajaan tidak mengukur kejayaan limpahan ekonomi digital berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pada 2025, sumbangan ekonomi digital kepada KDNK mencapai 23.5 peratus bersamaan RM476.8 bilion, dengan sasaran 30 peratus menjelang 2030,” katanya.

Tambah beliau, setiap projek pusat data di bawah Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) diwajibkan memenuhi syarat minimum 30 peratus kandungan tempatan dalam rantaian bekalannya bagi memastikan vendor tempatan menikmati limpahan pelaburan berteknologi tinggi.

Menurutnya, Kementerian Digital bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga sedang memperhalusi kaedah pengukuran khusus bagi menilai kadar penggunaan AI oleh PMKS serta impaknya terhadap produktiviti, hasil jualan dan pendapatan rakyat.

Kerajaan turut membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) berasaskan data untuk mengukur jurang digital rakyat dan perniagaan menerusi enam aspek utama.

Katanya, pelaksanaan semua inisiatif itu dipantau setiap bulan melalui papan pemuka bersepadu yang melibatkan agensi berkaitan bagi memastikan dasar diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat dan perniagaan tempatan.

BBerkaitan

Latest articles