KUCHING: PKR Sarawak mengambil keputusan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sekali gus memberi laluan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai menghormati persefahaman politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu dimuktamadkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak menerusi kenyataan media bertarikh 24 November, empat hari sebelum hari penamaan calon.
Menurut kenyataan itu, pendirian berkenaan dibuat bagi mengelakkan sebarang ketegangan politik yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan.
Sebaliknya, parti itu mahu memberi keutamaan kepada hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam memperjuangkan pelaksanaan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
PKR Sarawak turut menegaskan kestabilan politik perlu dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan, pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat negeri itu tidak terjejas.
Sehubungan itu, seluruh jentera dan kepemimpinan parti di semua peringkat diarahkan mematuhi keputusan berkenaan serta mengekalkan hubungan baik dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.
Bagaimanapun, parti itu menegaskan keputusan tidak bertanding bukan bermakna mereka akan mengetepikan tanggungjawab kepada rakyat Sarawak.
“PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Keputusan berkenaan turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kali pertama PKR tidak menyertai PRN Sarawak sejak parti itu mula bertapak di negeri berkenaan pada 1999.
Sebelum ini, PKR pernah bertanding dalam lima PRN Sarawak, masing-masing pada 2001, 2006, 2011, 2016 dan 2021.
Selain PKR, Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) juga sebelum ini mengumumkan pendirian tidak meletakkan calon pada PRN kali ini atas semangat kerjasama dan kestabilan politik.










