Polis Mungkin Panggil Tony Pua Berhubung Pendedahan Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan

KUALA LUMPUR: Pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini dalam perhatian polis, dengan kemungkinan pemimpin DAP, Tony Pua dipanggil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan pegawai penyiasat terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan susulan berhubung perkara itu.

Beliau bagaimanapun memaklumkan polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan dakwaan kebocoran dokumen berkenaan.

“Setakat ini, tak ada laporan polis berhubung isu ini… semua benda ini digembar-gemburkan di media sosial dan sebagainya tetapi pihak polis bersedia untuk menyiasat perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan polis menggunakan segala sumber yang ada bagi menyiasat dakwaan penyebaran minit mesyuarat berkenaan.

Arahan itu dibuat susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pihak berkuasa menyiasat bagaimana dokumen terbabit boleh tersebar kepada umum.

Ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam, Anwar menegaskan kerajaan tidak pernah menyebarkan minit mesyuarat yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia.

Beliau menjelaskan sebahagian dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu telah dinyahklasifikasikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri atau Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menyediakan jawapan untuk kes berkaitan yang sedang dibicarakan di mahkamah.

BBerkaitan

Latest articles