KUALA LUMPUR: Kerajaan belum mempunyai mekanisme perundangan alternatif bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 untuk menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui turut mempunyai kebimbangan terhadap pelaksanaan undang-undang itu.
Anwar berkata, pelbagai pandangan dibangkitkan berhubung Akta 15 berkenaan, termasuk kritikan terhadap penggunaannya, namun setakat ini belum ada penyelesaian lain yang boleh memastikan hubungan antara kaum terus terpelihara.
“Banyak pandangan mengenai masalah Akta 15 (Akta Hasutan), termasuk saya. Namun, kita tidak ada penyelesaian ganti untuk menjernihkan hubungan antara kaum,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau pada masa sama menegaskan, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama tidak boleh dipertahankan sekiranya penghinaan terhadap mana-mana agama dibenarkan, manakala penghinaan terhadap agama lain pula dikenakan tindakan.
Mengulas persepsi kononnya kerajaan lebih tegas dalam menangani penghinaan terhadap Islam berbanding agama lain, Anwar berkata, pendekatan sedemikian tidak sepatutnya berlaku jika negara mahu mengekalkan keamanan.
“Kalau kita betul-betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama. Baru boleh negara ini selamat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar menolak dakwaan berlaku layanan berbeza dalam siasatan kes membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), namun tidak menafikan terdapat kes yang mengambil tempoh terlalu lama untuk diselesaikan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan tempoh siasatan terhadap kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkaitan Sultan Selangor dan isu penternakan babi.
Anwar menegaskan, beliau tidak mempertahankan kenyataan Pua dan mengesahkan siasatan berhubung perkara itu masih berjalan.
Bagaimanapun, beliau bersetuju proses siasatan berkenaan mengambil masa yang panjang dan mengakui isu penghinaan terhadap institusi diraja turut berlaku dalam beberapa kes lain.
“Saya setuju, mengambil terlalu banyak masa. Kalau tengok konteks di Negeri Sembilan, berapa banyak bentuk penghinaan kepada institusi diraja,” katanya.










