KUALA LUMPUR: Polis digesa menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) berkaitan keputusan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail untuk mengendalikan siasatan berkenaan, termasuk menggerakkan segala sumber yang diperlukan bagi mengenal pasti bagaimana dokumen itu boleh tersebar.
Menurutnya, tindakan itu susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan polis dijalankan berhubung dakwaan kebocoran berkenaan.
Beliau menjelaskan, minit mesyuarat terbabit sebelum ini dinyahklasifikasikan daripada Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bagi membolehkan Peguam Negara menyediakan afidavit untuk prosiding semakan kehakiman berkaitan isu berkenaan.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata, dokumen yang sudah dinyahklasifikasikan itu kini berstatus dokumen awam.
“Bagaimanapun, saya serahkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Asia International Security Summit and Expo 2027 (AISSE’27) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC), hari ini.
Terdahulu, Anwar mengarahkan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca minit mesyuarat FTPB itu tersebar lebih awal, selain menafikan dakwaan bahawa dokumen berkenaan diedarkan oleh pihak kerajaan.
Perdana Menteri turut menyatakan Kementerian Dalam Negeri perlu meneliti bagaimana dokumen berkenaan boleh diperoleh dan disebarkan sebelum waktunya.
Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin memuji tindakan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang tampil melaporkan rakan setugasnya kerana disyaki cuba membawa masuk seorang warga asing ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.
Menurutnya, tindakan itu membuktikan seruan kementerian supaya setiap anggota agensi penguat kuasa mempertahankan integriti bukan sekadar peringatan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang semata-mata untuk menjaga nama baik sesebuah agensi.
“Kita mempunyai dua pilihan, sama ada menutup perkara ini demi melindungi reputasi agensi atau bertindak untuk menegakkan undang-undang. Kita memilih untuk bertindak,” katanya.
Semalam, AKPS mengesahkan seorang pegawainya ditahan pada 17 November lalu di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas disyaki cuba membawa masuk seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah.
Kes itu terbongkar selepas seorang lagi pegawai agensi berkenaan membuat laporan terhadap rakan sekerjanya sendiri.










